Khamis, 23 Mei 2019 | 11:07am
KEADAAN kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dibakar di Kangar. - Foto ihsan polis

Dalang utama bakar kereta Mufti Perlis akhirnya ditahan

KANGAR: Selepas lebih dua bulan diburu, dalang utama kes bakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikenali sebagai Zaini akhirnya berjaya diberkas di sekitar negeri ini, kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Mie Tomoi yang menyebabkan kenderaan itu terbakar.

“Keseluruhannya, lima suspek ditahan sehingga bagi membantu siasatan kes berkenaan, dengan kesemuanya sedang direman.

“Kita masih memburu Mie Tomoi dan yakin suspek akan diberkas dalam sedikit masa lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Noor Mushar berkata, setakat ini hasil siasatan terperinci mendapati mendapati Zaini dan Mie Tomoi turut terbabit dalam kejadian mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan pada September tahun lalu.

“Zaini adalah suspek utama dalam kes bakar kereta Mohd Asri dan mencederakan Hazman.

“Dia juga yang bertanggungjawab dengan membayar upah kepada Mie Tomoi dalam dua kejadian berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menahan seorang penganggur berusia 36 tahun dan memburu lagi empat suspek yang terbabit dalam kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri di kediamannya pada 22 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, kereta berkenaan jenis Honda Accord dibakar pada bahagian bonet, selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk solat Subuh.

Berita Harian X