Khamis, 23 Mei 2019 | 10:50am

Bapa, anak ditahan kes tembak kepala monyet

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengusaha kebun pisang dan anaknya selepas dipercayai terbabit kejadian menembak kepala seekor monyet yang terkurung dalam sangkar sehingga mati.

Ahli perniagaan berusia 54 tahun itu yang juga pemilik lesen senjata api ke atas pistol berkenaan ditahan bersama anaknya berusia 19 tahun di kediaman mereka di Taman Kenangan, Setiawan, Perak, pada jam 9 malam kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata dalam serbuan berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, turut merampas pistol jenis Glock .38 auto, yang disyaki digunakan dalam kes itu.

Ahli perniagaan terbabit yang juga seorang bekas anggota tentera mengambil lesen senjata api kerana ingin menjaga kebun pisangnya seluas empat hektar di Lambor Kiri, Bota, Perak.

“Berdasarkan siasatan awal, ahli perniagaan terbabit menyatakan tidak terbabit dalam kejadian tembak monyet itu, namun memaklumkan suspek dalam video berkenaan seakan mirip anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek utama kes berkenaan yang juga anak ahli perniagaan itu mengaku mengambil pistol berkenaan ketika bapanya sedang tidur.

“Dia (suspek) mendakwa membawa monyet dengan sangkar itu jauh dari kawasan kebun untuk tujuan bersuka-ria.

“Selepas melepaskan satu das tembakan, sangkar dan bangkai monyet milik suspek dibuang ke Sungai Bota,” katanya.

Pada masa ini, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 39, Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini satu rakaman video berdurasi 20 saat menjadi tular yang memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet dalam sangkar kerana enggan bercakap 'baby sayang'.

Menerusi rakaman video, lelaki itu mengugut dan menyuruh seekor monyet bercakap perkataan ‘baby sayang’ dan menembak monyet itu kerana tidak berbuat demikian.

8531 dibaca
Seorang lelaki menembak seekor monyet yang terkurung dalam sangkar menggunakan sepucuk pistol.
Berita Harian X