Rabu, 22 Mei 2019 | 10:43am
KEADAAN lori yang terlibat dalam kemalangan di berhampiran Simpang Sing Ba, Bintangor. - Foto ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

30 minit tahan azab kaki tersepit

BINTANGOR: Seorang pemandu lori kargo terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam apabila kakinya tersepit selepas kenderaan dipandunya bertembung sebuah lori kargo lain di kawasan persimpangan Jalan Sing Ba, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan Ng Suon Chin, 24, patah kaki kanan, manakala kelindannya, Eng Khye San,23, cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata pemandu dan kelindan sebuah lagi lori, masing-masing berusia 60 dan 42 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu pula hanya cedera ringan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.34 petang dan tiba ke lokasi kira-kira 18 minit kemudian.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa mengalami kecederaan di kaki berikutan kaki kanannya tersepit di pedal dan pintu sebelah pemandu.


KEADAAN lori yang terlibat dalam kemalangan di berhampiran Simpang Sing Ba, Bintangor. - Foto ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

“Peralatan khas terpaksa digunakan untuk mengumpil dan memotong bahagian kenderaan terbabit sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang lain dapat dikeluarkan dengan bantuan tanpa peralatan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila lori dari Sibu ke Sarikei itu terbabas sebelum merempuh lori mangsa yang dalam perjalanan dari Kuching ke Miri.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk menerima rawatan lanjut.

“Lori yang terbabit dalam kemalangan diangkat dengan menggunakan lori kren sebelum di bawa ke Balai Polis Bintangor.

“Kami melakukan kerja pembersihan tumpuan minyak di permukaan jalan bagi memastikan laluan itu selamat untuk dilalui oleh kenderaan lain dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.07 petang,” katanya.

224 dibaca
Berita Harian X