Selasa, 21 Mei 2019 | 3:22pm
KANAK-KANAK lelaki kehilangan jari telunjuk tangan kirinya selepas tersepit di dalam mesin pengisar di Kampung Delek Kanan. - NSTP/Ihsan BOMBA

Jari telunjuk kanak-kanak 3 tahun putus dalam mesin pengisar

KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang jari telunjuk tangan kiri akibat tersepit dalam mesin pengisar di sebuah premis di Kampung Delek Kanan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kanak-kanak warga Indonesia itu menanggung kesakitan hampir 30 minit sebelum diselamatkan anggota bomba.

Difahamkan, mangsa mengikut ibunya yang bekerja di premis membuat makanan berkenaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebahagian tangan tangan kiri kanak-kanak itu tersepit di dalam mesin berkenaan.

“Mesin terbabit adalah bagi pelbagai kegunaan dan berada di atas meja ketika kejadian.

“Dipercayai ketika kejadian ibu mangsa sedang melakukan kerja lain dan kanak-kanak itu memasukkan tangannya ke dalam mesin itu,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Samsol berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak itu dan mengambil masa kira-kira 10 minit.

“Anggota paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga turut berada di lokasi untuk bantuan susulan,” katanya.

381 dibaca
Berita Harian X