Selasa, 21 Mei 2019 | 11:10am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan bengkel motosikal yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Batu Kawa, Kuching. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

50 motosikal musnah terbakar

KUCHING: Kira-kira 50 motosikal musnah dalam kebakaran sebuah bengkel di Jalan Batu Kawa di sini, pagi tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.44 pagi.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Padungan serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.


Keadaan kebakaran melibatkan bengkel motosikal di Jalan Batu Kawa, Kuching. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

“Setiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat bawah bangunan kedai tiga tingkat itu dan sudah 70 peratus musnah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Henderi berkata, pihaknya berdepan sedikit kesukaran ketika usaha mengelak kebakaran daripada merebak ke lot bersebelahan kerana terdapat arus elektrik.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.44 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.13 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadiaan itu dengan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X