Isnin, 20 Mei 2019 | 2:36pm

Pemilik syarikat direman empat hari

PUTRAJAYA: Seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara bernilai lebih RM17 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 11 malam tadi di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, ketika hadir memberi keterangan.

Penahanan itu menjadikan tiga individu direman setakat ini membabitkan kes berkenaan.

Pada 13 Mei lalu, dua individu iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta turut direman membabitkan projek sama.

Wanita itu dibebaskan selepas tamat tempoh reman pada 16 Mei lalu, manakala tempoh reman lelaki bergelar Datuk itu dilanjutkan empat hari lagi sebelum dibebaskan hari ini.

Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Suspek (tengah) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara bernilai lebih RM17 juta. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X