Isnin, 20 Mei 2019 | 1:27pm
POLIS berjaya menahan empat lelaki disyaki penagih dadah di Jalan Pendang, Kobah. Dadah jenis heroin yang dirampas polis. - Foto ihsn PDRM

Empat penagih sedang khayal dicekup polis

PENDANG: Empat penagih, termasuk seorang disyaki pengedar dadah yang sedang duduk di lantai dalam keadaan khayal dicekup polis ketika serbuan di sebuah rumah di Jalan Pendang, Kobah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yasin membuat serbuan berdasarkan maklumat yang diterima.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata ketika membuat pemeriksaan lanjut, ditemui sembilan paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 26.75 gram dan lapan paket plastik lutsinar berisi serbuk hablur jernih disyaki syabu seberat 4.6 gram.

“Turut ditemui gunting besi, alat penimbang digital, 10 plastik lutsinar kosong dan sebotol kaca yang di ubahsuai menjadi alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati kesemua mereka positif morfin.

“Salah seorang suspek berusia 34 tahun disyaki menjadi pengedar dadah, manakala tiga rakannya berusia 39, 42 dan 46 tahun membantu membungkus dadah berkenaan.

“Kesemua mereka menjadikan rumah salah seorang suspek sebagai tempat membungkus dan menghisap dadah,” katanya.

Beliau berkata, semakan kemudian mendapati kesemua suspek mempunyai rekod berkaitan kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

281 dibaca
Berita Harian X