Ahad, 19 Mei 2019 | 8:48pm

Pengerusi DAP Jerantut ditahan bantu siasatan kes ugut polis

KUANTAN: Polis menahan Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong, hari ini bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata Why Keong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, pada jam 3 petang tadi selepas dipanggil bagi memberi keterangan.

“Kita panggil dia untuk bantu siasatan berhubung ugutan menerusi aplikasi WhatsApp yang dilakukannya terhadap OCPD (ketua polis daerah) baru-baru ini.

“Why Leong kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai merekodkan keterangannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan laporan polis dibuat Mazlan kelmarin selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada Why Leong melalui aplikasi WhatsApp.

Ia dipercayai berpunca daripada operasi pegawai dan polis terhadap penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah berkenaan.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit Why Leong bagi tujuan melengkapkan siasatan.

Katanya, siasatan secara adil dan profesional akan dilakukan pihaknya serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan Loo namun tidak dapat mengulas lanjut kerana berada di luar negara.

1893 dibaca
Berita Harian X