Ahad, 19 Mei 2019 | 7:15pm
Rakan perniagaan, Datin Nur Shahida Mohd Rashid, (kanan) dan Natasha Maria Akhamat (kiri). - NSTP/Fathil Asri

'Arwah tergesa-gesa selesaikan urusan zakat'

TUMPAT: “Arwah tergesa-gesa mahu menyelesaikan semua urusan zakat kepada golongan memerlukan sebelum 15 Ramadan, seolah-olah sudah tahu dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Natasha Maria Akhamat.

Beliau rakan baik kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Thailand.

Natasha, 37, berkata berbanding sebelum ini, arwah akan menyelesaikan urusan zakat kepada golongan memerlukan termasuk pondok, tahfiz dan anak yatim sepanjang Ramadan.

“Arwah selalu berpesan kepada saya jika kita hendak beri sedekah atau zakat, jangan beritahu orang sebaliknya kita buat secara senyap-senyap, biar Allah SWT yang nilai.

“Pesanan ini saya akan ingat sampai bila-bila. Saya juga dimaklumkan arwah sudah membeli keperluan raya anak-anak dan anak saudaranya sejak daripada awal lagi.

“Mungkin arwah tahu dia akan pergi, jadi dia membuat semua persiapan awal bagi menyenangkan orang yang disayanginya,” katanya ketika ditemui Kampung Paloh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka bukan sahaja bersahabat baik, malah menganggap arwah seperti adik-beradik apabila sering melakukan aktiviti bersama, termasuk bercuti di luar negara.

“Saya sering mengajak arwah keluar bercuti supaya dia dapat berehat selepas terlalu sibuk memikirkan urusan perniagaan. Sehinggakan, saya sendiri membeli tiket penerbangan dan memaksanya ke luar negara.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah empat hari sebelum dia menunaikan umrah dua minggu lalu. Sepanjang itu, arwah sering berhubung dengan saya mengajak mengikutinya meskipun untuk beberapa hari, namun disebabkan kerja banyak, saya terpaksa menolak.

“Selepas Aidilfitri ini, kami merancang mahu bercuti ke Maldives atau Dubai, namun ia tidak kesampaian,” katanya yang mula mengenali arwah sejak 2008.

Sementara itu, rakan perniagaan, Datin Nur Shahida Mohd Rashid berkata, dia mengenali arwah sejak 10 tahun lalu dan ibu kepada lapan anak termasuk tiga anak tiri itu sangat baik serta tidak pernah menyakitkan hati orang lain.

“Setiap kali saya datang ke sini, dia akan mengirimkan pelbagai jenis makanan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Kami kehilangan rakan perniagaan yang terlalu baik dan tidak pernah menyakitkan hati orang lain.

“Walaupun kami saling berniaga kosmetik dan bersaing, tetapi kami sering memberi sokongan di antara satu sama lain dan arwah tidak mempunyai sikap dengki sekalipun,” katanya.

BH hari ini melaporkan, Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani, 40, meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi (waktu tempatan), kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, merempuh lori.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

12401 dibaca
Berita Harian X