Ahad, 19 Mei 2019 | 7:14pm
ANGGOTA bomba berusaha memotong sebahagian mata kail yang tercucuk di tapak tangan kanak-kanak lelaki di Hospital Tumpat. - Foto ihsan bomba

Mata kail tercucuk di tapak tangan budak 4 tahun

TUMPAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menahan sakit selepas tercucuk mata kail di tapak tangan kirinya, hari ini.

Ketua Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Raja Arisan Raja Semail, berkata seramai empat anggota dikejarkan ke Hospital Tumpat di mana kanak-kanak lelaki berkenaan sedang dirawat.

“Anggota kami memotong sebahagian mata kail yang tercucuk di tapak tangan kirinya bagi memudahkan doktor melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bakinya.

“Kami mengambil masa selama 15 minit untuk memotong sebahagian mata kail itu dengan menggunakan pemotong khas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Tumpat pada jam 1.30 tengah hari untuk meminta bantuan.

Beliau berkata, bantuan khidmat khas itu adalah antara tugasan pasukan bomba dan pihaknya bersedia memberikan khidmat dalam apa juga situasi yang diperlukan pada bila-bila masa.

820 dibaca
Berita Harian X