Ahad, 19 Mei 2019 | 6:14pm

Pasukan khas buru pemandu, penumpang SUV nahas

BAGAN SERAI: Polis menubuhkan pasukan petugas bagi mengesan pemandu dan penumpang warga Myanmar yang melarikan diri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) mereka terbabit nahas di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati semua penumpang termasuk pemandu Nissan X -Trail berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, siasatan juga mendapati semua mangsa dipercayai dibawa masuk ke negara ini oleh satu sindiket di utara tanah air .

“Semua mereka berada dalam keadaan berhimpit dan jumlah keseluruhan penumpang serta pemandu adalah seramai 16 orang. Polis mendapati pemandu serta penumpang hadapan sudah melarikan diri.

“Semakan nombor pendaftaran SUV itu mendapati pemiliknya adalah seorang lelaki berusia 57 tahun dan beralamat di Kampar serta mempunyai 16 rekod saman,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, polis sudah menahan empat mangsa yang cedera untuk siasatan dan sedang mendapatkan bantuan jurubahasa bagi membolehkan siasatan dijalankan disebabkan kesemua mereka tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris.

Beliau berkata, tujuh mangsa yang parah sedang menerima rawatan di Hospital Taiping dan polis sedang berhubung dengan kedutaan Myanmar bagi mendapatkan bantuan menguruskan tiga jenazah mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengesan cap jari dua mangsa yang melarikan diri,” katanya.

2148 dibaca
KEADAAN Nissan X -Trail yang terbabit nahas di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, hari ini. - Foto ihsan bomba
Berita Harian X