Ahad, 19 Mei 2019 | 6:00pm
SEORANG lelaki cedera parah apabila sebutir mercun meletup dalam genggamannya ketika mahu menghalau kumpulan kera di kebunnya di Kampung Changlai, Sik, semalam. - Foto ihsan pembaca

Penjaga kebun cedera parah mercun meletup di tangan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki cedera parah apabila sebutir mercun meletup dalam genggamannya ketika mahu menghalau kumpulan kera di kebunnya di Kampung Changlai, Sik, semalam.

Mangsa, Omar Mohd Akhir, 34, yang cedera parah di tangan kiri mengambil upah menjaga kebun sejak setahun lalu.

Dia dikatakan keluar dari rumah tidak lama selepas waktu berbuka puasa untuk ke kebun terbabit.

Menurut adik mangsa, Siti Noor Fatihah, 20, abangnya dikatakan keluar berseorangan menaiki motosikal dengan membawa beberapa biji mercun bola.

“Dia menunggang motosikal sambil memegang mercun bola untuk menghalau kera di kebun.

“Waktu kejadian dia dikatakan menunggang motosikal sambil tangan kirinya memegang mercun bola dan sebatang rokok yang sedang menyala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fatihah berkata, mercun berkenaan dikatakan terkena api nyalaan rokok sebelum meletup di tangan mangsa.

“Mungkin dia pegang empat biji mercun bola, sebab orang kampung mendengar bunyi empat das letupan mercun pada waktu itu,” katanya.

Katanya, penduduk kampung yang mendengar jeritan mangsa segera memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke Hospital Sik bagi menerima rawatan.

Fatihah berkata, abangnya kini dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata mangsa cedera serius pada tangan kiri di mana jari manis dan jari kelingking parah sehingga menampakkan tulang.

“Pihak Hospital Sik turut mendapatkan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menanggalkan cincin dari jari manis mangsa.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan terbakar pada dada mangsa,” katanya.

729 dibaca
Berita Harian X