Ahad, 19 Mei 2019 | 4:23pm
TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad. - Foto Hafiz Sohaimi

Rusuhan di pusat hiburan, Datuk Seri serah diri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang sebelum ini dicari polis bersama tiga yang lain kerana disyaki terbabit dalam kes rusuhan pada 3 Mei lalu di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, di sini, sudah menyerah diri kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata lelaki terbabit tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama peguamnya pada jam 3 petang untuk disoal-siasat dan diambil keterangan.

Katanya, dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas prosiding itu selesa dan setakat ini, seramai 15 orang sudah ditahan berhubung kes itu termasuk Datuk Seri terbabit.

“Seorang daripada mereka yang diburu, sebelum ini bekerja sebagai pengawal peribadi sambilan, juga sudah menyerah diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki yang turut tersenarai dalam buruan polis bagi kes itu berada di luar negara dan dijangka akan menyerah diri sebaik pulang ke tanah air dalam minggu ini.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, kira-kira 40 individu bersenjatakan parang, batang kayu dan belantan dipercayai ahli kongsi gelap, menyerang dan merosakkan sebuah pusat hiburan di Scott Garden.

Kumpulan berkenaan dikatakan meluru masuk ke dalam premis yang ketika itu baru hendak memulakan operasi sebelum memecahkan meja, kerusi, televisyen, gelas, kabinet dan barangan perhiasan.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu mempunyai kaitan dengan perasaan cemburu membabitkan seorang wanita dan cabar mencabar antara satu sama lain sebelum berlaku rusuhan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

1646 dibaca
Berita Harian X