Ahad, 19 Mei 2019 | 3:16pm
Anggota polis memeriksa keadaan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai. - NSTP/Ramli Ibrahim
Keadaan bas ekspres yang di rempuh motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai. - NSTP/Ramli Ibrahim

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Azam Shafie Salleh, 26, parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Krai (HKK).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki Z8 dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan selekoh, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian merempuh bahagian tepi ruang pemandu sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, mangsa yang parah di kepala dan badan kemudian dikejarkan ke HKK dan meninggal dunia sebaik menerima rawatan kecemasan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1453 dibaca
Berita Harian X