Ahad, 19 Mei 2019 | 3:03pm
Laporan dalam BH Online.

Tiada laporan berhubung kes MyVi terbabas di PKBU

BUTTERWORTH: Siasatan terhadap kes pemandu kereta yang kenderaannya terbabas dan memasuki rel kereta api di Pangkalan Kontena Butterworth (PKBU) di sini, hanya akan dijalankan sekiranya polis menerima laporan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkenaan daripada pihak pengurusan PKBU atau mangsa.

“Setakat ini siasatan kes terbabit tidak dibuka kerana kita belum menerima apa-apa laporan mengenai kejadian berkenaan, sama ada daripada pihak pengurusan PKBU atau mangsa.

“Kita juga masih menunggu pihak berkaitan untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan mengenainya dijalankan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, petugas di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (PKBU) di sini, gempar seketika apabila kereta dipandu seorang lelaki terbabas dan memasuki kawasan rel kereta api pelabuhan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lelaki berusia 20-an itu dikatakan memandu kenderaannya dari Bagan di sini, dalam keadaan mabuk sebelum terbabas.

Sumber dilapor berkata, lelaki terbabit dikatakan melihat penghadang di bahagian timbangan lori kawasan berkenaan sebagai ‘plaza tol’ sebelum memasuki kawasan terbabit.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan dilaporkan berlaku pada rel kereta api berkenaan, selain pemandu terbabit juga tidak mengalami kecederaan.

“Kenderaan dinaiki lelaki terbabit juga tidak mengalami sebarang kerosakan dengan proses mengeluarkan kereta dilakukan pemiliknya tanpa bantuan pihak lain.

“Kejadian ini hanya dimaklumkan kepada pihak polis pelabuhan dan tiada tindakan lanjut diambil ke atas pemandu berkenaan,” katanya.

353 dibaca
Berita Harian X