Ahad, 19 Mei 2019 | 2:17pm

Mangsa nahas disyaki diseludup masuk ke negara ini

BAGAN SERAI: Semua 14 warga asing yang terbabit kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, di sini, hari ini, dipercayai diseludup masuk oleh sindiket penyeludupan ke negara ini.

Difahamkan, ia berdasarkan siasatan awal polis selepas tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan keadaan kumpulan warga asing itu yang berhimpit di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X -Trail

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, tiga orang maut dan 11 yang lain cedera, termasuk tujuh parah, manakala pemandu kenderaan itu melarikan diri. Semua mereka adalah warga Myanmar.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata siasatan awal polis mendapati SUV berkenaan dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, polis percaya kumpulan membabitkan 13 lelaki dan seorang wanita itu cuba diseludup ke satu kawasan tertentu dan kesemua mereka berhimpit seperti ‘sardin’ di dalam SUV berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti sindiket terbabit dan punca kemalangan itu dipercayai adalah disebabkan hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan tiga warga Myanmar tercampak keluar dari SUV dan terjatuh ke bawah jambatan lebuh raya iaitu di Jalan Tali Air Kampung Tebuk Panchor dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Tujuh penumpang parah manakala empat lagi cedera dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar dan Hospital Taiping untuk rawatan manakala pemandu SUV menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Zakaria berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan polis sudah menahan empat warga asing yang cedera untuk siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob dijangka mengadakan sidang media pada jam 4 petang ini.

1438 dibaca
Berita kemalangan yang disiar sekitar 10.43 pagi ini.
Berita Harian X