Ahad, 19 Mei 2019 | 2:04pm
Timbunan kotak yang dipercayai bunga api dan mercun bernilai RM70,000 yang cuba diseludup dari negara lain melalui Tasik Ah Ning. - Ihsan PDRM
Timbunan kotak yang dipercayai bunga api dan mercun bernilai RM70,000 yang cuba diseludup dari negara lain melalui Tasik Ah Ning. - Ihsan PDRM

Mercun, bunga api seludup RM70,000 dirampas

PADANG TERAP: Taktik baru penggunaan Tasik Ah Ning sebagai tempat menyeludup mercun dan bunga api dari sempadan negara jiran akhirnya terbongkar apabila seorang lelaki tempatan ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian terbabit, polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup menggunakan laluan air dari Sebayoi, Thailand ke tasik berkenaan di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap menjalankan tugas rondaan dan risikan sempadan Malaysia-Thailand di kawasan sekitar tasik terbabit di Padang Sanai, di sini.

Beliau berkata, anggotanya tiba lebih awal jam 11 pagi di kawasan di tepi tasik yang menjadi tempat pendaratan nelayan tempatan.

“Setibanya di lokasi itu, anggota ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam jenis Mitsubishi berhampiran tebing dalam keadaan mencurigakan.

“Pengadu dan pasukan kemudiannya menghampiri kenderaan itu dan mendapati terdapat seorang lelaki berada di kerusi tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan berusia 36 tahun dan beralamat di Kampung Padang Nyior, Mukim Padang Terap Kiri.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu mendapati terdapat 20 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari negara jiran.

“Antaranya termasuklah empat kotak Happy Boom mengandungi 200 kotak kecil, (4) kotak bercetak A-667-50/24/6 mengandungi 200 kotak kecil mercun dan bunga api, dua kotak tanpa jenama yang mengandungi 176 unit ‘magical shot’.

“Enam kotak bercetak 4036 mengandungi 36 ‘shot cake’ yang mengandungi 72 unit dan empat kotak bercetak 8826 bunga api mengandungi 1,200 kotak kecil,” katanya.

Noh berkata, selain itu suspek turut menunjukkan satu longgokan kotak di atas tanah yang berada lebih kurang tiga meter di belakang kenderaan yang mengandungi 16 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Beliau berkata, antaranya termasuklah dua kotak mengandungi 60 kotak kecil sparklers buatan China, dua kotak bercetak 49 shot mengandungi 24 unit, dua kotak bercetak fireworks mengandungi 80 kotak kecil thunder crackling clap, dua kotak bercetak fireworks mengandungi 80 kotak kotak kecil thunder crackling clap.

“Selain itu, dua kotak bercetak 4138B shot cake dan lapan kotak bercetak 4025 shot cake mengandungi 128 unit,” katanya.

Noh berkata, suspek mengaku semua mercun dan bunga api itu dibawa masuk melalui negara jiran dan modus operandi terbaru menggunakan laluan air di Tasik Ah Ning itu digunakan untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, laluan darat yang membolehkan kenderaan masuk sehingga hampir ke tebing tasik dibina oleh penyeludup semata-mata bagi tujuan itu.

“Nilai mercun dan bunga api yang dirampas adalah kira-kira RM70,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

175 dibaca
Berita Harian X