Ahad, 19 Mei 2019 | 1:11pm
Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Suspek bakar kereta Mufti Perlis diberkas

KANGAR: Suspek yang membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya pada 22 Mac lalu berjaya diberkas awal pagi semalam di Jelempok, Arau.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata susulan itu suspek lelaki yang juga penganggur berusia 36 tahun direman empat hari sehingga Selasa ini bermula semalam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian bakar berkenaan.

“Tangkapan dilakukan pada jam 2.45 pagi semalam dan lelaki itu yang juga duda mengaku terbabit dalam membakar kereta Mohd Asri kerana bermotifkan dendam berhubung pemecatan imam di negeri ini beberapa bulan lalu.

“Malah dia juga memberitahu terdapat seorang lagi suspek yang membantunya membakar kereta Mohd Asri dan mereka menerima upah sebanyak RM500 daripada seorang lelaki bernama Zaini.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Jadi polis kini sedang memburu rakan lelaki yang digelar sebagai Mie Tomoi dan Zaini bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mushar berkata, dua lagi suspek masih belum dikenal pasti pihaknya namun dia percaya dengan penangkapan suspek semalam bakal merungkai identiti mereka yang dipercayai menjadi dalang utama kes berkenaan.

“Kita percaya suspek bersama rakannya yang digelar Mie Tomoi hanya menerima upah daripada Zaini dan dua lagi suspek lelaki bagi membakar kereta Mohd Asri.

“Malah hasil pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan dadah dan jenayah lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

Dalam kejadian yang berlaku pada 22 Mac lalu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk bersolat Subuh kira-kira jam 6.05 pagi pada hari kejadian itu berlaku.

Berita Harian X