Sabtu, 18 Mei 2019 | 2:35pm
Sebahagian daripada 46 PATI warga Indonesia yang ditahan ESSCOM dalam Operasi Khas Bersepadu di Batu 8, Jalan Tinagat di Tawau. - Ihsan ESSCOM

46 PATI ditahan Operasi Bersepadu Khas

TAWAU: Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas (OBK) diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sekitar Batu 8, Jalan Tinagat, dekat sini, semalam.

Operasi itu diadakan susulan maklumat awam berhubung lokasi disyaki tempat pendaratan dan persembunyian PATI di kawasan berkenaan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata sepasukan empat anggotanya bersama empat pegawai Imigresen melakukan serbuan di kawasan terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, seramai 48 warga Indonesia diperiksa dan daripada jumlah terbabit, 46 ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka yang ditahan membabitkan 25 lelaki, 15 wanita dan enam kanak-kanak berusia antara satu hingga 59 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai masuk secara haram melalui laluan tidak diwartakan, iaitu kawasan perairan Sungai Nyamuk di Indonesia sebagai tempat persembunyian atau transit sebelum menyusup masuk secara haram ke negara ini melalui laluan tikus,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hazani berkata, semua PATI itu kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Imigresen cawangan Tawau.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama dan sokongan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau melanggar undang-undang negara, khususnya berkaitan isu pemerdagangan orang dan penyeludupan barang lawalan bersubsidi.

“Kita akan sentiasa mempergiat operasi seperti ini bagi mengekang dan membendung kegiatan pemerdagangan manusia serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi ke negara jiran,” katanya.

Berita Harian X