Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:09pm

Saya nak bantu mahkamah, bukan untuk dimalukan - Saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi pakar memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, yang beliau hadir untuk membantu siasatan berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, dan bukan untuk dimalukan.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, berkata demikian selepas selesai memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dr Ahmad Hafizam turut menegaskan beliau bukan pakar fizik dan sebarang pengesahan berhubung pengiraan daya yang menyebabkan kecederaan pada Muhammad Adib itu perlu dirujuk kepada pakar dalam bidang berkenaan.

“Saya sentiasa tegaskan saya bukan pakar fizik. Apabila diminta sesuatu oleh peguam, saya beranggapan permintaan untuk membantu inkues. Ini bukannya perbicaraan.

“Saya boleh berehat dan buat sesuatu. Saya bukannya pakar fizik dan bukan untuk dimalukan di mahkamah,” katanya pada prosiding hari ke-36 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di sini.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula Dr Ahmad Hafizam yang juga saksi ke-24 bagi memberi keterangan.

Permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula beliau itu dibuat selepas saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberikan keterangan dalam inkues itu.

Terdahulu, suasana mahkamah tegang sekali lagi apabila peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor, mengasak beberapa soalan terhadap Dr Ahmad Hafizam.

“Saya bukan berniat untuk mengelirukan mahkamah dan bukannya mahu dimalukan di mahkamah. Saya pun penjawat awam saja. Tak sepatutnya saya dimalukan dalam inkues,” kata Dr Ahmad Hafizam.

Sebelum itu, Dr Ahmad Hafizam berkata, kesan lebam pada badan mangsa mungkin disebabkan manipulasi pesakit ketika anggota bomba itu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari mendapat rawatan. Dalam rawatan, ada pergerakan tertentu dan manipulasi badan pada kiri dan kanan.

“Lebam boleh berlaku semasa rawatan. Hasil bedah siasat, lebam tak padan dengan ditarik,” katanya.

DR Ahmad Hafizam Hasmi (hadapan) hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X