Khamis, 16 Mei 2019 | 4:20pm
Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Pakar dakwa Adib keluar sendiri walau tiada saksi nampak

SHAH ALAM: Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, tetap mempertahankan teorinya bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) walaupun tiada saksi melihat tindakan itu.

Saksi ke-24 itu memberitahu Mahkamah Koroner, ia berdasarkan hasil bedah siasat dilakukannya yang tidak menemui sebarang elemen menunjukkan Muhammad Adib ditarik dari van EMRS terbabit.

“Sepanjang inkues dijalankan, keterangan saksi mata tak ada yang nampak Adib ditarik keluar.

“Saya ambil kira keterangan saksi pada hari kejadian termasuk pemandu van EMRS yang berada dengan si mati.

“Tetapi dapatan bedah siasat tiada elemen dia ditarik keluar. Jika tiada kecederaan berpadanan dengan ditarik keluar, apa yang boleh disimpulkan dia keluar sendiri,” katanya ketika memberi keterangan pada hari ke-35 prosiding inkues dijalankan, hari ini.

Dalam prosiding hari ini, suasana dalam mahkamah agak tegang selepas peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor, bertanyakan mengenai teori yang dipertahankan saksi pakar itu.

Ia termasuk formula kiraan daya yang didakwa Syazlin adalah salah sebelum Dr Ahmad Hafizam mencadangkan saksi pakar fizik dipanggil.

Dalam keterangan hari ini, saksi sama memberitahu mahkamah, beliau yakin Muhammad Adib tidak memakai baju uniform celoreng pada kejadian rusuhan itu, pada awal pagi 27 November tahun lalu.

Katanya, baju itu tidak mempunyai kesan yang berpadanan dengan kecederaan di bahagian dada Muhammad Adib.

Beliau berkata, berdasarkan luka di bahagian dada kanan Muhammad Adib, baju yang dipakai mesti koyak.

“Ikut teori Prof Dr Shahrom Abd Wahid (saksi ke-29), tombol pintu itu akan hasil luka pada badan dan koyakkan baju.

“Butang yang koyak pada baju uniform itu juga tak berpadanan dengan kecederaan pada badan Adib.

“Baju itu pula bersih, tiada koyakan di siku kiri. Saya tidak yakin baju yang mempunyai butang tercabut adalah baju yang dipakai si mati pada kejadian itu,” katanya.

1616 dibaca
Berita Harian X