Khamis, 16 Mei 2019 | 3:43pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pukul ibu dengan bakul baju dan payung

TASEK GELUGOR: Seorang wanita bengkak di pipi kiri akibat dipukul anak lelakinya dengan sebuah bakul baju dan payung di rumah mereka dekat Kampung Selamat di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, bapa saudara suspek berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan kecil apabila dipukul dengan topi keledar ketika mempertahankan kakaknya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ibu suspek berusia 64 tahun datang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

“Ibu suspek memaklumkan bahawa anaknya tiba-tiba mengamuk dengan membaling bakul baju ke arahnya sebelum mengambil payung lalu memukulnya.

“Adik kepada ibu suspek yang tinggal berdepan dengan rumah mereka kemudian datang untuk mempertahankan kakaknya dan membawa wanita itu untuk membuat laporan polis, namun dia pula dipukul oleh anak saudaranya dengan topi keledar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Polis kemudian menahan suspek berusia 33 tahun pada jam 6.30 petang semalam di rumah terbabit untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian akibat berada di bawah pengaruh dadah.

“Semakan mendapati suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X