Khamis, 16 Mei 2019 | 12:32pm

Reman CEO kes peralatan kenderaan agensi pertahanan disambung

PUTRAJAYA: Tempoh reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang disiasat bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta, disambung empat hari lagi sehingga Isnin ini.

Selain itu, seorang ketua pegawai kewangan (CFO) yang juga direman bagi siasatan kes sama sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit bersama seorang penjamin.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan SPRM.

Sumber berkata, SPRM turut merampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan semalam.

Kedua-dua suspek sebelum ini direman empat hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

Akhbar baru-baru ini melaporkan CEO dan CFO sebuah syarikat swasta ditahan SPRM kerana menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara.

Sumber SPRM berkata, CEO bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima wang suapan membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan itu bernilai lebih RM17 juta.

Sebelum ini, CEO lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 53 tahun menjawat jawatan CFO itu dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Sementara itu, bagi kes menerima dan memberi rasuah RM200,000 membabitkan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua kontraktor dibebaskan dengan jaminan RM5,000 tanpa deposit bersama seorang penjamin manakala pasport diarahkan diserahkan kepada SPRM.

297 dibaca
Berita Harian X