Rabu, 15 Mei 2019 | 5:51pm
Bekas peserta Pencetus Ummah, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi hadir di Mahkamah Syariah Klang bagi kes lafaz cerai terhadap isterinya Ain' Afni Latif (tengah). - Foto Faiz Anuar

PU Abu, Ain 'Afini masih suami isteri

KLANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini memutuskan lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, terhadap isterinya, Ain ‘Afini Latif, sebagai tidak sah.

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar membuat keputusan itu selepas Muhammad Abu Sufyan, 25, atau PU Abu membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau tidak berniat untuk bercerai ketika menghantar mesej berkenaan, bulan lalu.

“Sudah jelas bahawa kamu sebagai seorang suami perlu menjaga isteri dan anak yang berada dalam kandungannya.

“Jangan lepas tangan dan semua hal seharusnya diselesaikan dengan baik,” katanya pada prosiding pengesahan lafaz cerai di hadapannya, hari ini.

Terdahulu, Ain ‘Afini, 23, memberitahu mahkamah bahawa mereka yang bernikah hujung Ogos tahun lalu berselisih faham dan bercerai talak satu dengan kebenaran mahkamah pada 28 Januari lalu sebelum rujuk semula pada Februari lalu.

“Pada jam 11.44 pagi 13 Mac lalu, lafaz cerai diterima menerusi pesanan WhatsApp daripada dia (suami) yang meninggalkan saya di rumah selama seminggu.

“Saya turut menerima mesej daripada dia yang meminta supaya memudahkan semuanya dan mengisi borang perceraian,” katanya.

PU Abu kemudian memaklumkan beliau tidak berniat untuk bercerai tetapi faktor keadaan memaksanya berbuat demikian.

“Saya mengakui kesilapan diri dan memohon maaf atas perbuatan saya terhadap isteri selama ini. Saya masih sayangkan isteri dan ingin hidup bersamanya. Saya juga bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya,” katanya.

Dalam prosiding sama, Mohd Nurulazhar turut memerintahkan pasangan itu mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz berkenaan adalah sah.

Beliau sebelum itu turut menolak permohonan PU Abu yang meminta media dan orang awam di dalam mahkamah supaya tidak mendengar kes perbicaraan berkenaan kerana isu sensitif dan mengaibkan.

Media bulan lalu melaporkan dalam perkongsian menerusi Instagram (IG) Ain yang kini hamil, talak itu dilafazkan Abu menerusi WhatsApp pada 13 Mac lalu kerana tidak bersetuju dengan permintaan untuk berpoligami.

Abu kemudian membuat permohonan maaf menerusi IG atas tindakannya itu untuk berkahwin selain turut memohon maaf kepada keluarga mentuanya.

4687 dibaca
Berita Harian X