Selasa, 14 Mei 2019 | 4:37pm
DR Ahmad Hafizam Hasmi ketika hadir pada Prosiding Inkues Menentukan Punca Kematian Anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Saksi tetap pertahan teori Adib keluar sendiri dari van

SHAH ALAM: Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, hari ini menolak semua teori yang dikemukakan saksi ke-29 prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam rumusannya, Dr Ahmad Hafizam berkata, teori pakar Forensik Patologi United Kingdom (UK), Profesor Dr Shahrom Abd Wahid tidak berpadanan dengan corak dan kecederaan dialami mangsa.

Katanya, teori bekas pakar Perunding Kanan Forensik dan Patalogi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (dahulu dikenali Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) yang dikemukakan di mahkamah itu tidak bersesuaian dengan situasi dan keadaan pada malam kejadian.

“Teori Dr Shahrom hanya memilih kecederaan tertentu pada lengan atas dan kanan.

“Teori Dr Shahrom tidak berpadanan dengan tempoh masa cepat dan bagaimana mangsa mendapat kecederaan,” katanya.

Pada prosiding hari ke -33 ini, Dr Ahmad Hafizam tetap dengan pendirian Muhammad Adib tidak ditarik sebaliknya keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan itu.

“Kebarangkalian yang paling mungkin adalah mangsa keluar sendiri dari EMRS. Mangsa tidak ditarik oleh orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan kepatahan tulang rusuk hadapan dan belakang, kebarangkalian untuk mangsa tersepit ada.

“Tetapi daripada maklumat lain, ia tidak menyokong bahawa si mati tidak tersepit antara dua permukaan yang berat.

“Bagaimanapun sekiranya terhimpit antara dua kenderaan iaitu van EMRS dan Fire Tender Rescue (FRT), sepatutnya akan ada lebih banyak kecederaan,” katanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.

Sebuah Van EMRS akan dibawa ke mahkamah esok bagi tujuan uji kaji dan penerangan oleh pihak berkepentingan.

873 dibaca
Berita Harian X