Isnin, 13 Mei 2019 | 9:57am

Tiga maut, seorang parah nahas dua kenderaan

Manjung: Tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 11, Segari di sini malam tadi adalah pasangan yang bakal bertunang dan seorang lelaki berasal daru Sarawak.

Seorang lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu dipercayai lelaki warga asing yang masih belum dikenalpasti identitinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, nahas membabitkan Proton Persona dan Proton Iswara.

Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Persona, Sharifuden Shahidan, 34; penumpang hadapan kereta berkenaan, Nadya Othman, 36, dan pemandu Proton Iswara, Henson Elizabeth Saimah, 31.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, penumpang hadapan Proton Iswara, lelaki berusia 30-an patah kaki kanan dan luka di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 12.06 tengah malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Persona yang dinaiki Sharifuden dan Nadya dari arah Taiping menghala ke arah Seri Manjung.

Katanya, Proton Iswara yang dipandu Henson yang berasal dari Sarawak pula dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai Proton Iswara gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Persona yang berada di laluan yang sah.

“Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Proton Persona serta pemandu Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sibi hari ini.

Menurutnya, penumpang hadapan Proton Iswara dipercayai lelaki warga asing yang identitinya masih belum dikenal pasti patah kaki kanan dan luka di bahagian kepala.

“Mangsa yang parah di bawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut manakala ketiga-tiga mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

325 dibaca
Berita Harian X