Ahad, 12 Mei 2019 | 2:59pm

Lelaki tikam imam kerana tidur terganggu

JERTEH: Seorang imam cedera ditikam seorang lelaki ketika membaca al-Quran di Masjid Kampung Apal, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Amin Md Nor, 37, sedang membaca al-Quran kira-kira jam 6.30 pagi apabila didatangi suspek yang berusia 23 tahun dan menikamnya. Mohd Amin menerima tujuh jahitan.

Suspek bertindak demikian kerana marah apabila bacaan al-Quran imam berkenaan didakwa mengganggu tidurnya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa membaca al-Quran di ruang solat masjid sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Beliau berkata, suspek kemudian menikam dada mangsa menggunakan objek tajam dan melarikan diri.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah imam di sebuah surau di Kertih, Chukai dan pulang ke daerah ini kerana menguruskan jenazah ayahnya yang meninggal dunia kelmarin.

“Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, suspek berusia 23 tahun ditahan tidak lama kemudian dan polis turut merampas pisau yang digunakan untuk menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Zamri berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu tidurnya.

Katanya, siasatan mendapati jarak rumah suspek dan tempat kejadian kira-kira 100 meter dan suspek yang positif methamphetamine turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mencederakan orang dan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

3815 dibaca
Berita Harian X