Ahad, 12 Mei 2019 | 7:33am
MUHAMAD Nur-Eman Al-Rahdie maut selepas terjerut kain pengikat langsir pada hujung besi buaian bayi untuk bermain di Taman Belimbing, Malau, Jitra. - Foto Ihsan Polis

Kanak-kanak maut terbelit kain pengikat langsir

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terbelit kain pengikat langsir ketika bermain dengan dua adiknya di rumah mereka di Taman Belimbing, Malau, Jitra, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa, Muhamad Nur-Eman Al-Rahdie Noreffendi, 11, dikatakan mengikat kain pengikat langsir pada hujung besi buaian bayi untuk bermain di pintu bilik utama rumah berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa secara tidak sengaja melompat menyebabkan lehernya terbelit pada kain pengikat langsir yang disangkut pada hujung besi buaian.

Ketika kejadian, ibu dan bapanya yang berusia sekitar 30-an sedang tidur di bilik bersama adik bongsu mangsa yang berusia setahun empat bulan.

Adik perempuan mangsa yang berusia 10 tahun yang melihat mulut abangnya berbuih kemudian bertindak memaklumkan kejadian kepada ibu dan bapanya.

Bapa mangsa kemudian membuka ikatan kain pengikat langsir itu dan cuba memberi bantuan pernafasan selepas melihat anaknya tidak sedarkan diri.

Bapa mangsa kemudian meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan, Chien Chunng Tsaur, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan setakat ini mengesahkan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

1424 dibaca
Berita Harian X