Sabtu, 11 Mei 2019 | 11:09am

Suspek liwat pelajar tahfiz akhirnya ditangkap

KANGAR: Warden asrama yang didakwa meliwat dua pelajar dan mencabul tiga pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, ditahan ketika bersembunyi di Kuala Kangsar, Perak, tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan polis Perak di sebuah pusat tahfiz di Kampung Buaya Manora.

“Suspek ditahan pada jam 12.10 tengah malam tadi dan polis turut merampas dua telefon bimbit milik mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku meliwat, mencabul dan membuat gangguan seksual ke atas lima mangsa berusia antara sembilan hingga 15 tahun.

“Suspek direman hari ini di Kompleks Mahkamah Kangar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, dua pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat, manakala tiga pelajar lagi mendakwa dicabul oleh warden asrama mereka menginap di Simpang Empat sepanjang April lalu.

Perkara itu terbongkar selepas seorang guru di pusat tahfiz berkenaan membuat laporan pada Khamis lalu, di Balai Polis Simpang Empat selepas seorang daripada mangsa mengadu kepadanya.

Bagaimanapun, warden asrama berkenaan dilaporkan melarikan diri ke Perak sejurus mengetahui pihak pengurusan sekolah membuat laporan terhadapnya.

1422 dibaca
Berita Harian X