Jumaat, 10 Mei 2019 | 5:57pm
Ops Khas BSPTD Gombak di Bandar Tasik Puteri, Rawang, menahan 40 remaja yang merempit di lokasi. - Foto NSTP

Merempit di bulan puasa, 40 remaja kena saman

GOMBAK: Gara-gara merempit dan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya, seramai 40 remaja berusia antara 13 hingga 24 tahun ditahan dalam operasi di sekitar Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata operasi khas motosikal itu dijalankan susulan maklumat dan rungutan yang diterima daripada penduduk sekitar kawasan perumahan itu.

“Kita terima aduan daripada penduduk berhubung aktiviti menunggang motosikal oleh remaja bawah umur sejak awal Ramadan tempoh hari sehingga menyebabkan jemaah masjid berasa tidak selesa.

“Susulan aduan itu, kita jalankan operasi di sekitar jalan Bandar Tasik Puteri dan Acacia Park yang dilakukan dua pegawai bersama 30 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula jam 9 malam tadi.

“Sebanyak 30 motosikal yang ditunggang dan dibonceng dalam keadaan melanggar peraturan yang jelas iaitu tidak memakai topi keledar ditahan untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, keseluruhan 30 penunggang dan 10 pembonceng motosikal diperiksa dan hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 97 saman dikeluarkan pihak polis atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 40 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu (21), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (13) dan cukai jalan tamat tempoh (12).

“Selain itu, kita juga mengeluarkan sebanyak 11 saman ke atas mereka yang membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh mereka yang tiada lesen memandu,” katanya.

Menurut beliau lagi, semakan mendapati 22 remaja yang ditahan masih bersekolah, 12 lagi sudah bekerja manakala enam lagi adalah penganggur.

“Kesemua mereka dibebaskan selepas proses dokumentasi dan pengeluaran saman selesai.

“Kita minta orang ramai khususnya ibu bapa supaya memantau aktiviti anak masing-masing dan memastikan mereka tidak terbabit sebarang kegiatan yang tidak sihat.

“Disamping itu, kita minta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seumpama itu yang berlaku di kejiranan masing-masing di sekitar daerah Gombak,” katanya.

Berita Harian X