Jumaat, 10 Mei 2019 | 12:49pm

Konon nak tarawih rupa-rupanya merempit

JITRA: Sekumpulan remaja yang kononnya mahu ke masjid untuk solat tarawih ditahan polis selepas menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi di Jalan Batu 17, Tunjang, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur, berkata hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan sejak jam 8 malam itu, pihaknya menahan 12 motosikal yang ditunggang 16 remaja lelaki.

“Mereka terdiri dalam kalangan remaja berusia 14 hingga 17 tahun yang kononnya keluar untuk solat tarawih tetapi sebaliknya menunggang motosikal dengan pelbagai aksi berbahaya.

“Ada juga yang mengambil kesempatan menunggang motosikal ketika bapa mereka keluar solat tarawih semata-mata untuk melakukan pelbagai aksi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chunng Tsaur berkata, pihaknya kemudian menghubungi keluarga dan waris semua remaja berkenaan sebelum mereka dibebaskan.

“Daripada 12 motosikal yang kita tahan, lima kita sita untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak 30 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan mengubahsuai ekzos,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak terbabit dalam kegiatan lumba haram atau merempit kerana ia boleh mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya lain.

481 dibaca
Berita Harian X