Jumaat, 10 Mei 2019 | 11:44am
MAYAT pemancing Chong Yuen Khang, 36, dijumpai dan dihantar ke Hospital Dungun. - Foto Rosli Ilham

Mayat terakhir mangsa bot karam ditemui

CHUKAI: Mayat terakhir mangsa bot karam yang dinaiki lima pemancing di perairan Pulau Tenggol, Dungun, kelmarin, ditemui malam tadi.

Mayat Chong Yuen Khang, 36, ditemui bot nelayan tempatan kira-kira jam 7.30 malam pada jarak 30 batu nautika dari Kertih, dekat sini, sebelum diserahkan kepada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman.

Mayat mangsa tiba di jeti Maritim Malaysia Kemaman pada jam 6.45 pagi tadi dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Dungun, untuk bedah siasat.

Terdahulu, abang dan rakan mangsa yang membuat pengecaman mengesahkan mayat mangsa.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi kelmarin, bot dinaiki lima mangsa bersama seorang tekong dan dua awak-awak, karam selepas dibadai ribut serta ombak besar di perairan Kuala Dungun.

Tekong, Erwan Nordin, 39, bersama dua awak-awak bot itu, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26, berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan pada jam 5.30 petang kelmarin, namun lima pemancing berkenaan dilaporkan terpisah serta hilang akibat ombak kuat.

Empat pemancing terbabit kemudian ditemui jam 1 tengah hari semalam pada jarak 30 batu nautika arah timur Kertih dengan seorang daripada mereka maut, manakala seorang lagi masih hilang.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chan Kai Wai, 51, sementara tiga pemancing terselamat ialah Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28; dan Tan Buck Choon, warga Singapura.

Mereka ditemui pada jarak kira-kira 15 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam, oleh pesawat Dauphin AS365N yang digerakkan Maritim Malaysia untuk operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Ketika ditemui, tiga mangsa yang dalam keadaan keletihan dan dehidrasi berpaut pada boya dengan mayat Kai Wai diikat pada boya berkenaan.

Berita Harian X