Khamis, 9 Mei 2019 | 11:14pm

Polis buru warden dipercayai liwat pelajar

KANGAR: Polis sedang memburu seorang warden sebuah pusat tahfiz di sini, yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki pusat itu sejak April lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata laporan mengenai kejadian dibuat salah seorang guru pusat tahfiz berkenaan di Balai Polis Simpang Empat pada jam 11.25 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan laporan awal, suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai meliwat dua pelajar berusia sembilan dan 15 tahun selain mencabul tiga pelajar lain berusia antara sembilan ke 12 tahun.

“Berdasarkan laporan guru terbabit, salah seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden.

“Mangsa mendakwa suspek mengugut memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan, namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Difahamkan, siasatan dalaman yang dilakukan pusat tahfiz kemudian mendapati terdapat empat lagi pelajar turut menjadi mangsa warden terbabit, tetapi tidak membuat aduan kerana turut diugut suspek.

Noor Mushar berkata, siasatan awal polis mendapati seorang lagi pelajar berusia sembilan tahun turut mendakwa diliwat suspek yang kerap memeluk dan mencium semua mangsa lain serta mengajak mereka menonton video lucah di biliknya.

“Suspek dipercayai telah meliwat mangsa berusia 15 dan sembilan tahun, manakala tiga lagi mangsa dicabul serta dipaksa melakukan seks oral.

“Polis kini sedang berusaha mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri selepas mengetahui perbuatannya diketahui pihak pengurusan tahfiz,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berita Harian X