Khamis, 9 Mei 2019 | 2:46pm
Keadaan pacuan empat roda jenis Mitshubishi Storm yang dinaiki empat anggota polis dan seorang suspek dadah cedera selepas terbabit dalam kemalangan, di persimpangan Wisma Persekutuan. - Foto ihsan Pembaca

Polis bawa suspek cedera akibat kemalangan

KOTA BHARU: Empat polis yang membawa seorang suspek dadah menaiki pacuan empat roda kemalangan dengan sebuah kereta di Persimpangan Wisma Persekutuan di sini, semalam, menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, pegawai, anggota polis dan seorang suspek dadah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sedang bertugas dalam operasi narkotik dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Mitshubishi Storm.

Katanya, ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki lima mangsa termasuk seorang suspek itu dari arah Jalan Bayam menghala ke IPK Kelantan.

“Sebaik tiba di simpang empat lampu isyarat Persimpangan Wisma Persekutuan, kenderaan polis berkenaan bergerak lurus sebelum datang sebuah kereta BMW X5 dari arah Jalan Berek 12 menghala ke Dusun Muda.

“Pacuan empat roda yang dipandu konstabel polis itu gagal mengelak sebelum merempuh pintu sebelah penumpang hadapan kereta berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, semua yang berada di dalam pacuan empat roda mengalami kecederaan, manakala pemandu dan penumpang BMW X5 berusia 53 dan 57 tahun tidak cedera.

“Lima mangsa yang cedera dibawa ke HRPZ II untuk rawatan dengan menaiki ambulans.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

762 dibaca
Berita Harian X