Khamis, 9 Mei 2019 | 1:42pm
DUA pelajar perempuan, Siti Nor Hanim Alya Hamid dan Noor Asmida Ellyana Abdullah maut manakala seorang lagi cedera parah, Puteri Balqis Abdullah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dua sahabat maut dirempuh kereta terbabas

TUMPAT: Dua sahabat maut selepas motosikal yang ditunggangi secara berasingan dirempuh kereta yang terbabas di Kilometer 12 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor berdekatan Kampung Pasir Puteh, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.24 pagi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Siti Nor Hanim Alya Hamid, 17, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Nor Asmida Elliyana Abdullah, 17, meninggal dunia di Hospital Tumpat.

Seorang lagi mangsa, Puteri Balqis Abdullah, 13, yang juga adik kepada Nor Asmida Elliyana parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggang motosikal S dari arah Pengkalan Kubor menghala ke sekolah di Chabang Empat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Honda Accord yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan lalu merempuh mangsa.

“Akibat kemalangan itu seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tumpat

“Pembonceng motosikal yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjejaki pemandu kereta yang merempuh tiga pelajar terbabit.

“Pemandu kereta itu menghilangkan diri selepas kejadian dan meninggalkan kenderaannya sejauh kira-kira 150 meter dari tempat kejadian kerana mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu bapa Siti Nor Hanim, Hamid Sulong, 63, berkata anaknya turun dari rumah untuk ke sekolah pada jam 7 pagi tadi dan sempat bersalam dengannya.

“Selalunya saya yang akan menghantar dan menjemputnya ke sekolah tapi selepas sahur pagi tadi dia meminta izin untuk menunggang sendiri motosikal kerana ada peperiksaan dan ingin pulang awal ke rumah.

“Saya membenarkannya sambil berpesan supaya menunggang dengan berhati-hati namun ini (kemalangan) yang berlaku... saya terima dengan reda,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat di sini hari ini.

Hamid berkata, dia dihubungi jiran mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke lokasi sebelum melihat anaknya dalam keadaan parah tapi masih bernyawa di dalam longkang.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum anak menghembuskan nafas terakhir di sisi,” katanya.

Menurutnya, anak ke-14 dari 16 beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat menemaninya makan colek tengah malam tadi.

“Saya berasa ingin makan colek kerang dan mengajak Hanim makan di sebuah kedai makan di Chabang Empat manakala dia pula memesan colek ayam sebelum kami pulang ke rumah di Kampung Nechang,” katanya.

Ibu kepada dua lagi mangsa, Nor Asmawati Ismail, 34, berkata kejadian yang menimpa dua anaknya itu sangat mengejutkannya yang baharu pulang bekerja dari sebuah kedai makan pagi tadi.

“Saya tiba di rumah pada jam 7.20 pagi dan memang tidak sempat berjumpa dengan mereka.

“Saya hanya mengetahui perkara itu apabila seorang jiran datang ke rumah dan memberitahu kejadian yang menimpa anak,” katanya

Berita Harian X