Rabu, 8 Mei 2019 | 2:30pm
Bekas Penolong Naib Presiden KWAP Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

SRC gagal sertakan maklumat, dokumen lengkap kepada KWAP

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd (SRC) gagal mematuhi syarat Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam mengemukakan maklumat terperinci dan dokumen lengkap bagi memohon pinjaman dengan agensi dana persaraan itu.

Bekas Penolong Naib Presiden KWAP Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat, berkata sepanjang perkhidmatannya dalam KWAP, tiada syarikat dikecualikan daripada mengemukakan maklumat dan dokumen terbabit yang diperlukan KWAP apabila permohonan pinjaman dibuat.

Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata, SRC bagaimanapun gagal mengemukakan maklumat dan dokumen berkenaan apabila diminta berbuat demikian dalam permohonan pinjaman syarikat itu.

Amirul Imran berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff pada sesi pemeriksaan semula.

Ishak: Jadi dalam hal ini, biasanya kalau ada syarikat yang tidak memberikan butiran tambahan, permohonan pinjaman mereka akan ditolak?

Saksi: Ya

Ishak menyoal Amirul Imran melalui keterangan saksi itu sebelum ini berhubung emel yang dihantar saksi itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil pada 30 Jun 2011 bagi mendapatkan beberapa dokumen butiran komprehensif pelaburan sedia ada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi pinjaman pertama RM3.95 bilion untuk SRC.

Saksi itu dalam keterangan sebelum ini menjelaskan, beliau kemudian menerima emel daripada Nik Faisal yang menyatakan bahawa 1MDB tidak dapat memberikan dokumen berkenaan kerana projek hartanah masih di peringkat perancangan utama.

Terdahulu pada sesi soal balas, peguam Harvinderjit Singh membangkitkan soalan mengenai pelanggaran terma penggunaan dana pinjaman wang itu kepada saksi.

Peguam itu berkata, bagi membuktikan SRC melanggar terma penggunaan dana iaitu menggunakan wang pinjaman itu bagi tujuan lain selain daripada dalam sektor sumber asli dan untuk pusingan modal seperti dinyatakan dalam pelan pelaburan,

yang perlu dibuktikan ialah dana sama yang digunakan dan bukan mana-mana wang yang dijana daripada aktiviti pelaburan.

Perkara itu dipersetujui oleh saksi ke-29 pendakwaan itu.

Harvinderjit: Adakah terdapat kemungkinan kita dapat mengesan dari punca mana wang yang disalahguna itu?

Saksi: Ia bukan tugas saya, tetapi ia boleh dilakukan.

Harvinderjit: Adakah ia boleh dilakukan melalui Laporan Forensik Perakaunan?

Saksi: Ya, antaranya.

Harvinderjit kemudian mengemukakan surat daripada Kabinet yang diterima selepas Panel Pelaburan KWAP meluluskan pinjaman tambahan kepada SRC berjumlah RM2 bilion yang menunjukkan bahawa jaminan kerajaan sudah diperoleh bagi tujuan pinjaman itu.

Peguam itu kemudian menyoal Amirul sama ada surat berkenaan menunjukkan bahawa jaminan berkenaan sudah ada sebelum kemudahan pinjaman berkenaan diluluskan.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Harvinderjit dan menjelaskan, surat itu tidak bermakna bahawa jaminan bagi kemudahan pinjaman tambahan sudah diperoleh.

Harvinderjit: Adakah kamu menyatakan bahawa jaminan belum lagi diperoleh?

Saksi: Ya

Bagaimanapun apabila Amirul Imran cuba memberikan penjelasan , Harvinderjit memotong pertanyaan soal balas itu.

“Ia soalan mudah saja,” katanya.

5041 dibaca
Berita Harian X