Selasa, 7 Mei 2019 | 1:29pm

3 beranak maut dirempuh

TANAH MERAH: Tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang membawa muatan ketum di Kampung Nibong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Nur Zurita Kadir, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama anaknya, Muhammad Adam Mukhriz Adhan, 5, dan Siti Husna Qaisara, 4, dari arah Tanah Merah ke Jeli.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang membawa muatan ketum dari arah bertentangan, menyebabkan ketiga-tiga mangsa melambung dan maut di tempat kejadian.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.

Adik Nur Zurita, Mohd Zulfadli Shah, 25, berkata dia menerima panggilan daripada seorang penduduk mengenai kejadian yang menimpa kakaknya itu pada jam 8 pagi.


Jenazah tiga beranak, Nur Zurita Kadir, 26, dan dua anaknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, yang maut selepas motosikal jenis Honda EX-5 yang dinaiki dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang membawa muatan ketum di Kampung Nibong dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat. - Foto Zaman Huri Isa

Katanya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat mayat kakak dan anak saudaranya tempat kemalangan.

“Sebelum kejadian, kakak bersama tiga anaknya datang ke rumah di Kampung Gual Jedok, di sini untuk mandi pada jam 7 pagi tadi memandangkan rumah sewanya tiada bekalan air.

“Saya tidak sempat bercakap apa-apa dengan arwah, memandangkan dia terus bergegas menghantar anak sulungnya, Siti Hajjar Qistina, 8, di Sekolah Kebangsaan Jedok, di sini, dan anak keduanya, Muhammad Adam di tadika, ditemani anak bongsunya, Siti Husna.

“Namun sebaik menghantar Siti Hajar ke sekolah dan dalam perjalanan ke tadika, motosikal kakak dirempuh sebuah kereta, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.


Gambar kenangan tiga beranak, Nur Zurita Kadir, 26, dan dua anaknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, yang maut selepas motosikal jenis Honda EX-5 yang dinaiki dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang membawa muatan ketum di Kampung Nibong pagi tadi. - Foto ihsan Keluarga Mangsa

Katanya, dia difahamkan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dari arah bertentangan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal Honda Ex-5 yang ditunggang kakaknya.

“Saya tidak nampak sebarang perubahan terhadap arwah memandangkan saya hanya berjumpa sekejap ketika mereka datang ke rumah untuk mandi,” katanya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, ketika dihubung mengesahkan kejadian itu termasuk kereta terbabit membawa ketum dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

1179 dibaca
Keadaan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang membawa muatan ketum merempuh motorsikal EX5 lalu mengorbankan tiga beranak, Nur Zurita Kadir, 26, dan dua anaknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, di Kampung Nibong pagi tadi. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X