Isnin, 6 Mei 2019 | 3:15pm
KETUA Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib ketika sidang media di IPD Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Padah miliki senjata tiruan

SHAH ALAM: Hanya kerana hobi, dua bersahabat bakal berdepan hukuman setahun penjara selepas ditahan atas kesalahan memiliki senjata api tiruan.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan perkarangan Masjid Ubudiah, Seksyen 19, di sini kira-kira jam 11.40 malam, Jumaat lalu.

Ia kemudian membawa kepada penemuan selaras senapang dan dua pistol tiruan dalam kenderaan digunakan suspek.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek yang juga warga tempatan dipercayai baru selesai menjalani latihan menembak menggunakan senjata tiruan berkenaan.

Katanya, sebelum ditahan, kedua-dua suspek terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil menyimpan senjata tiruan berkenaan ke kenderaan mereka, masing-masing kereta Chevrolet Cruze dan motosikal Yamaha 135LC.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku menggunakan senjata yang dirampas untuk tujuan latihan yang dijalankan di kawasan parkir masjid.

“Suspek turut mengakui memiliki senjata itu lebih empat tahun lalu eengan membelinya melalui penjualan di Facebook,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Baharudin berkata, senjata tiruan berkenan mempunyai kualiti tinggi, malah dilihat hampir 100 peratus sama dengan senjata sebenar kecuali funginya sahaja yang tidak sama.

Katanya, siasatan terhadap suspek juga mendapati, kedua-duanya memiliki senjata tiruan itu disebabkan hobi dan minat mereka dalam aktiviti menembak.

“Suspek mendakwa senapang itu dibelinya pada harga RM1,009, manakala dua pistol berkenaan bernilai RM850,” katanya.

Beliau berkata, senapang tiruan dirampas itu adalah jenis automatik jenama HK 416 D Cal. 5.56 Mmx45, manakala pistol dirampas jenama Glock 32c Austria 357 dan 18c Tactical 9X19 Wet 5168.

“Polis turut merampas dua botol manik dipercayai dijadikan peluru,” katanya.

Suspek yang masing-masing bekerja sebagai kakitangan pawagam dan kontraktor elektrik itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Kedua-duanya kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api Seksyen 1960.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Berita Harian X