Isnin, 6 Mei 2019 | 11:42am
SEBUAH kereta yang terbabas sebelum terbalik di Jalan Sematan Baru. - Foto Ihsan Bomba

Remaja maut, 3 parah kereta terbalik

LUNDU: Seorang remaja lelaki maut, manakala empat lagi cedera termasuk tiga parah, apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Sematan Baru, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.20 pagi, David Dillon Anton, 19, yang berasal dari Kampung Bungai Raya, Simunjan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.25 pagi.

Susulan itu, katanya, tujuh anggota termasuk daripada Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, dikerahkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi kejadian, seorang penumpang didapati tersepit di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Saga. Anggota bomba memotong kenderaan yang remuk itu menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, anggota paramedik Hospital Lundu yang berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nahas berlaku apabila kereta dinaiki lima lelaki itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di tepi jalan.

“Difahamkan, seorang mangsa berjaya keluar dari kenderaan itu. Namun, tiga lagi tercampak keluar dari kenderaan berkenaan dan mengalami kecederaan parah,” katanya.

Tiga mangsa parah ialah Nickolin Jeffry, 25, dari Kampung Batu Mumong Atas, Simunjan; Danielle Divedrom, 22, dari Kampung Pueh, Sematan; dan Sellestin Carl Stanlly, 16, manakala seorang lagi yang cedera ringan ialah Alraxson Menghuan juga dari Kampung Pueh.

678 dibaca
Berita Harian X