Ahad, 5 Mei 2019 | 11:33am

Pekebun sayur ditipu lebih suku juta ringgit

KUANTAN: Seorang pekebun sayur di Cameron Highlands menanggung kerugian RM290,606 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis bernama ‘Sarjan Chew’ dan ‘Tuan Yong’.

Kejadian berlaku pada 24 April lalu apabila mangsa lelaki berusia 54 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa kakitangan Pejabat Pos Malaysia cawangan Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang tinggal di Kampung Raja itu diberitahu barang yang hendak dihantar ke Sarawak dikesan mengandungi dadah.

“Suspek juga mendakwa barang kiriman mengandungi dadah itu sudah dirampas oleh polis. Namun, mangsa menafikan dia ada menghantar barang ke Sarawak.

“Talian itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis bernama ‘Sarjan Chew’ yang memaklumkan mengenai kesahihan dakwaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan kes berkenaan, ‘Sarjan Chew’ menyambungkan panggilan itu pula kepada pegawai polis Bukit Aman bernama ‘Tuan Yong’.

“Hasil perbincangan, ‘Tuan Yong’ meminta mangsa membuat pindahan wang, kononnya bagi mengelak daripada ditahan pihak polis.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak enam kali ke tiga akaun berbeza bermula 25 April hingga 1 Mei lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM290,606,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tidak tahan kerana sering didesak oleh suspek membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kes dadah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang besar.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X