Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:46pm
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd. - Foto Azhar Ramli

Lelaki ugut pukul anak murid Zakir Naik ditahan

KANGAR: Polis menahan seorang lelaki yang membuat ugutan mengancam keselamatan dan menyebarkan nombor telefon bimbit milik pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang juga anak murid pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata suspek berusia 39 tahun ditahan di Brickfields, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.50 petang semalam susulan laporan dibuat Muhammad Zamri di Balai Polis Kangar, kelmarin.

“Suspek bekerja di syarikat pengurusan majlis ditahan selepas menyebarkan di Facebook, satu rakaman perbualan telefon di antaranya dengan Muhammad Zamri yang mengandungi ugutan terhadap mangsa.

“Malah suspek turut menyebarkan nombor telefon Muhammad Zamri di Facebook yang bertujuan menghasut orang lain mengancam mangsa. Suspek yang mempunyai rekod lampau kes rusuhan bersenjata mengaku membuat ugutan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, polis turut merampas telefon bimbit bersama dua kad SIM dipercayai digunakan suspek bagi membuat ugutan berkenaan.

“Suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Ini tangkapan kedua membabitkan ugutan pukul di Perlis dalam tempoh beberapa hari selepas tangkapan pertama pada awal pagi, semalam.

Kelmarin, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas menerima ugutan pukul di Facebook.

Susulan itu, polis menahan seorang kerani berusia 36 tahun di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang pada awal pagi semalam yang kemudian direman sehingga 6 Mei ini bagi membantu siasatan.

Mohd Asri sebelum ini mempersoalkan tindakan polis menahan Muhammad Zamri kerana didakwa menghina agama Hindu.

1023 dibaca
Berita Harian X