Jumaat, 3 Mei 2019 | 1:03pm
Keadaan kereta Toyota Vios selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Stutong, Kuching. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

2 rakan sekerja maut kemalangan

KUCHING: Dua rakan sekerja maut apabila motosikal dinaiki terbabit nahas dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Stutong, di sini, tengah malam tadi.

Kemalangan jam 12.05 tengah malam itu menyebabkan penunggang motosikal, Anistasia Johea, 19, dan pemboncengnya, Maria Bujang, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku apabila penunggang motosikal jenis Modenas Kriss terbabit dipercayai melawan arus dan memasuki laluan sebuah kereta Toyota Vios sebelum berlaku perlanggaran.

“Kereta itu bergerak lurus dari Stutong ke arah One TJ sebelum motosikal berkenaan dikatakan tiba-tiba melintas ke arah bertentangan dan membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat.

“Akibatnya, kenderaan terbabit berlanggar dan kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan, disahkan maut oleh paramedik daripada Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa yang masing-masing berasal dari Kampung Peninjau Baru, Bau, dan Kampung Bungu Mawang, Serian, kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu lelaki terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

556 dibaca
Berita Harian X