Jumaat, 3 Mei 2019 | 10:53am

Polis tahan wanita buang anak

LANGKAWI: Seorang wanita berusia 36 tahun ditahan polis selepas disyaki membuang bayi yang baru dilahirkan di tepi jalan berhampiran terowong di Kampung Dato’ Syed Nahar, di sini.

Suspek yang juga pengawal keselamatan sekolah ditahan jam 9.30 malam tadi, kira-kira 12 jam selepas mayat bayi sudah berulat ditemui di dalam plastik sampah pada jam 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata wanita tempatan itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah seorang janda dan mempunyai tiga anak berusia antara dua dan 27 tahun.

“Suspek turut mengaku bayi yang dibuang itu adalah hasil hubungan seks bersama teman lelakinya yang dikenali menerusi aplikasi media sosial, Bee Talk.

“Wanita terbabit mengaku mengalami tumpah darah dan melahirkan bayi di tempat kerjanya empat hari lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berikutan itu suspek bertindak memasukkan bayi terbabit ke dalam plastik dan membuangnya di longgokan sampah iaitu tempat mayat ditemui.

“Suspek direman hari ini dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya.

Semalam, media melaporkan mayat bayi yang belum dikenal pasti umur dan jantina serta dibungkus dalam plastik sampah ditemui orang awam di Kampung Dato’ Syed Nahar di sini, kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Berita Harian X