Jumaat, 3 Mei 2019 | 10:45am

Suspek ugut mufti direman empat hari

KANGAR: Suspek yang mengugut untuk memukul Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook kelmarin, direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah penahanan reman ke atas lelaki yang bekerja sebagai kerani berusia 36 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas suspek bagi mengenal pasti punca sebenar ugutan itu.

“Sebarang maklumat terkini berhubung kes ugutan ke atas Mohd Asri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Polis baru sahaja mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek. Jadi berikan pihak polis ruang untuk melakukan soal siasat ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan Mohd Asri membuat laporan polis kerana menerima ugutan pukul oleh seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ di Facebook.

Ugutan itu dilakukan pada jam 6 petang kelmarin, dan suspek turut memberikan nombor telefonnya kepada Mohd Asri bagi memudahkan pertemuan antara mereka.

Sehubungan itu, Mohd Asri tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek berjaya ditahan polis di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Berita Harian X