Khamis, 2 Mei 2019 | 1:46pm
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad (dua diri kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam paket teh Cina bernilai RM1.5 juta dirampas di Taman Impian Emas, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Polis rampas dadah RM1.5 juta

JOHOR BAHRU: Polis merampas 27.39 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.5 juta yang disembunyikan dalam 28 bungkusan teh selepas menahan seorang lelaki di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Mohd Taib Ahmad, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Taman Impian Emas, Skudai di sini, kira-kira 4.30 petang.

Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut, polis menemui 28 bungkusan teh mengandungi syabu di tingkat satu premis perniagaan itu dianggarkan bernilai RM1.5 juta.


Sebahagian dadah yang dipamerkan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara hari ini. Polis Johor menahan seorang suspek dan merampas 28 paket dengan berat 27.39 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM1.5 juta menerusi serbuan di sebuah rumah kedai di Skudai, Selasa. - Foto BERNAMA

“Serbuan ini dilakukan hasil pemantauan dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan 630 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah serta merampas pelbagai jenis dadah seberat 76.9 kilogram dianggarkan bernilai RM2.57 juta, sejak Januari lalu sehingga semalam.

Berita Harian X