Khamis, 2 Mei 2019 | 11:39am

Kantoi jual nombor ekor tanpa lesen

BAU: Taktik seorang wanita yang menjual loteri haram dengan berselindung di sebalik perniagaan peralatan sembahyang di sini terbongkar apabila dia ditahan polis, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata suspek berusia 45 tahun itu ditangkap sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pada jam 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan, wanita itu disyaki menggunakan premis perniagaannya sebagai tempat menjalankan kegiatan penjualan loteri awam tanpa lesen.

“Barang rampasan iaitu satu kertas putih tercatat angka disyaki loteri haram, sebatang pen dan 33 keping wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM59 dibawa ke Balai Polis Bau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge berkata, suspek ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara lima tahun.

“Semakan juga mendapati wanita terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

703 dibaca
Berita Harian X