Rabu, 1 Mei 2019 | 6:01pm
VIDEO tular FB seorang kontraktor SAINS berdepan detik cemas apabila diacu pisau oleh seorang lelaki dipercayai pemilik sebuah restoran di Bandar Seremban. - Foto ihsan FB

Kontraktor SAINS diacu pisau

SEREMBAN: Seorang kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) berdepan detik cemas apabila diacu pisau oleh seorang lelaki dipercayai pemilik sebuah restoran di daerah ini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kontraktor terbabit dikatakan menjalankan operasi pemotongan bekalan air di restoran berkenaan, yang mempunyai tunggakan bayaran bil.

Lelaki itu dipercayai tidak puas hati lalu mengambil pisau dan menyerang kontraktor terbabit, bertujuan menghalang pemotongan bekalan air di premis berkenaan.

Kejadian itu dirakam oleh individu lain dan dimuat naik ke laman sosial Facebook, sekali gus menjadi viral sejak pagi ini.

Rakaman video selama satu minit 18 saat itu menunjukkan seorang lelaki memegang pisau dan memarahi kontraktor SAINS.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, pengguna terbabit mempunyai tunggakan bil lebih RM2,000 menyebabkan kontraktor berkenaan melaksanakan kerja pemotongan bekalan air.

“Pengguna itu sedia maklum mengenai bil yang tertunggak dan pernah diberikan peluang membuat bayaran secara ansuran oleh pihak SAINS.

“Berdasarkan penyata akaun bil, pengguna itu tidak membuat bayaran secara konsisten setiap bulan dan ini menyebabkan bil tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norzita berkata setiap bil yang dihantar kepada pengguna dinyatakan jumlah bil semasa dan bil tertunggak sedia ada untuk dijelaskan segera.

Katanya, SAINS juga sedia memaklumkan kepada pengguna melalui bil yang dihantar mengenai tempoh bayaran perlu dijelaskan supaya tidak berlaku pemotongan bekalan, sekali gus mengelakkan bekalan air pengguna terjejas.

820 dibaca
Berita Harian X