Selasa, 30 April 2019 | 3:39pm
ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di dalam kereta ibunya di Taman EHsan, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam kereta

KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun yang terperangkap di dalam kereta ibunya di Taman Ehsan, di sini pagi tadi, diselamatkan pasukan bomba.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, ibu kanak-kanak terbabit dikatakan menghidupkan kereta PERODUA Kancil miliknya untuk memanaskan enjin.

Sebaik saja keluar dari kereta berkenaan, tanpa disedari anaknya masuk dalam kereta lalu bermain dengan kunci kereta menyebabkan anaknya tertekan tombol kunci.

Ibu mangsa yang panik selepas gagal memujuk anaknya untuk membuka pintu kereta hampir 20 minit kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.46 pagi dan menghantar enam anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa terperangkap dalam kenderaan dalam keadaan tingkap bertutup dan pintu berkunci.

“Pasukan bomba bertindak mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan khas memandangkan ia sudah berlaku hampir 20 minit sebelum berjaya membawa mangsa keluar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan operasi ditamatkan jam 8.56 pagi.

Berita Harian X