Isnin, 29 April 2019 | 6:44pm

SPRM tahan bekas pegawai khas bekas menteri

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas pegawai khas bekas menteri kerana disyaki mengatur projek di sebuah kementerian, termasuk pembekalan peralatan pesawat pejuang bernilai kira-kira RM1.8 juta pada 2017.

Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati, suspek dikatakan menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian.

Ini termasuk pembekalan peralatan pesawat pejuang yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Difahamkan, SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki ada kaitan dengan individu berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok.

Berita Harian X