Sabtu, 27 April 2019 | 11:16pm
SEBUAH bas ekspres terbabas dan merempuh sebuah lori di kilometer 130 Jalanraya Timur Barat dekat Jeli. - Foto ihsan pembaca

1 maut, 3 cedera kemalangan bas ekspres

JELI: Seorang penumpang bas ekspres maut manakala tiga cedera dalam kemalangan sebuah bas ekspres dan lori di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat, dekat di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), Muhammad Afiq MohdZulkanain, 22, berasal dari Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Jeli.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad, berkata kemalangan berlaku ketika bas ekspres dua tingkat membawa 24 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Perak ke Kuala Besut, Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu laluan selekoh, pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian tepi kanan lori.


SEBUAH bas ekspres terbabas dan merempuh sebuah lori di kilometer 130 Jalanraya Timur Barat dekat Jeli. - Foto ihsan pembaca

“Bas ekspres terbabit kemudiannya terbabas ke dalam longkang.

“Mangsa yang berada di bahagian penumpang di tingkat atas parah sebelum dihantar ke hospital tetapi kemudian disahkan meninggal ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 30 tahun parah manakala dua penumpang lain cedera ringan juga dirawat di hospital sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Berita Harian X